Monday, March 7, 2011

JENIS-JENIS PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERBANTUKAN KOMPUTER



JENIS-JENIS PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERBANTUKAN KOMPUTER

Dalam mengkategorikan jenis-jenis PPBK, kita perlu melihat kepada fungsi dan
objektif PPBK serta kaedah penyampaian yang digunakan. Dalam bahagian ini,
kita akan membincangkan tentang enam jenis PPBK iaitu:

Latih Tubi
Latih tubi adalah jenis PPBK yang dilaksanakan untuk menilai pemahaman
pelajar atau pengukuhan dan ia dilaksanakan secara kendiri. Dalam latih tubi,
pelajar di berikan beberapa soalan dan komputer memberikan maklum balas
berdasarkan jawapan mereka.
Alessi & Trollip (1991) telah mencadangkan cara pemilihan soalan-soalan yang
sesuai digunakan dalam latih tubi. Berikut adalah caranya:
(a) Pilihan secara rawak di mana soalan dipilih dari senarai soalan-soalan
secara rawak.
(b) Tersusun di mana soalan di susun mengikut suatu susunan yang
ditentukan terlebih dahulu.
(c) Teknik flashcard di mana selepas pelajar menjawab satu senarai soalan,
soalan-soalan yang dijawab dengan salah di susun semula dan di berikan
semula kepada pelajar. Proses ini berterusan sehingga pelajar menjawab
ke semua soalan dengan betul.

Anda mungkin berpendapat bahawa latih tubi tidak menggunakan sepenuhnya
kemampuan komputer. Sebenarnya, ia mempunyai kelebihan tersendiri seperti:
(a) PPBK jenis latih tubi membolehkan pelajar mengawal perjalanan perisian
kursus mengikut kesesuaian.
(b) Menggalakkan pelajar menguasai suatu kemahiran atau pengetahuan dan
melalui proses penilaian sebelum mempelajari bahagian-bahagian
seterusnya.
(c) Grafik dan multimedia yang menarik boleh digunakan untuk memotivasi
dan memberi maklum balas.

Tutorial
Tutorial merupakan sejenis PPBK yang digunakan untuk mempersembahkan
bahan pengajaran yang baru dan mempunyai langkah-langkah penerangan yang
tersusun (Alessi & Trollip, 1991). PPBK jenis ini bertindak sebagai tutor yang
menyampaikan pengajaran. Tutorial yang dibangunkan dengan baik
membolehkan pelajar belajar mengikut kemampuan dan merekodkan aktiviti
pembelajaran mereka.

Tutorial juga digunakan dalam latihan (Scheafermeyer, 1990). Ianya juga dapat
digunakan untuk pengukuhan, menyelesaikan masalah (Alessi & Trollip, 1985)
dan untuk mengajar konsep-konsep yang konkrit dan abstrak. Ini semua
dilakukan dengan menggunakan ilustrasi, animasi, soalan serta teks.

Rajah 8.4 menunjukkan struktur tutorial secara amnya.

Tutorial bermula dengan bahagian pengenalan yang menerangkan kepada
pelajar tentang perisian kursus yang digunakan termasuk objektif pembelajaran.
Ini diikuti dengan persembahan bahan pengajaran. Seterusnya pelajar diuji sama
ada mereka telah menguasai pengajaran yang disampaikan. Bergantung kepada
respons pelajar, perisian kursus akan sama ada menyampaikan maklumat
seterusnya atau memberi maklum balas atau melakukan proses pemulihan. Di
akhir tutorial, pelajar akan diberitahu tentang pencapaian mereka dan maklumat
tentang penggunaan perisian kursus tersebut.

Tutorial membolehkan pelajar belajar mengikut kemampuan masing-masing.
Pelajar yang cerdas boleh menjalankan aktiviti dengan cepat manakala pelajar
lemah pula dibimbing melalui pemulihan (Alessi & Trollip, 1991). Di mana perlu,
pelajar boleh mengulangi pelajaran sekerap yang diingini sehingga mereka
memahami sepenuhnya kandungan pelajaran yang disampaikan.

Permainan
Permainan komputer adalah PPBK yang semakin popular masa kini. Permainan
menggunakan pendekatan belajar sambil bermain untuk menarik minat pelajar
dan untuk menjadikan pembelajaran suatu yang menyeronokkan.
Menurut MacFarlane & Sparrowhawk (2002), dalam melaksanakan permainan
dalam pengajaran, guru perlu berhati-hati agar objektif permainan adalah sesuai
dengan objektif pengajaran.

MacFarlane & Sparrowhawk (2002) juga telah menjalankan kajian terhadap
kesan penggunaan permainan dalam pengajaran dengan menggunakan The
Sims, Sim City 3000 dan beberapa lagi permainan. Kajian mereka mendapati
bahawa guru-guru berpendapat bahawa walaupun kandungan pelajaran di
dalam permainan adalah sesuai dengan kandungan kurikulum, tahap
pembelajaran pelajar adalah rendah. Walau bagaimanapun, dapatan positif telah
diperolehi dari segi:
(a) Penyelesaian masalah;
(b) Daya ingatan;
(c) Semangat kerjasama di kalangan pelajar;
(d) Komunikasi antara pelajar; dan
(e) Hormat-menghormati di antara pelajar.

Simulasi
Thomas & Milligan (2004) mendefinisikan simulasi sebagai keadaan atau
sistem yang dimodelkan melalui komputer yang mengandungi maklumat
tentang bagaimana keadaan atau sistem itu berfungsi.

Jika digunakan sebelum menghadapi keadaan sebenar, simulasi memberi pelajar
peluang untuk menjalankan aktiviti untuk menguji hipotesis dan memahami
kesan suatu tindakan terhadap suatu sistem atau keadaan sebelum menghadapi
keadaan sebenar

Eksperimen-eksperimen sains yang berbahaya yang melibatkan bahan-bahan
radioaktif, bahan mudah terbakar dan bahan beracun sesuai dilakukan melalui
simulasi komputer sebelum eksperimen sebenar dilakukan.
Penggunaan simulasi selepas suatu pengajaran akan mengukuhkan pemahaman
pelajar dan dapat memperbetulkan kesilapan persepsi yang mereka mungkin
perolehi semasa pembelajaran sebenar.

Sebagai contoh, dalam pembelajaran mengenai graf, selepas pembelajaran di
kelas, pelajar boleh mengukuhkan lagi pemahaman mereka dengan
menggunakan komputer untuk melukis graf dan melihat kesan perubahan pada
graf tersebut apabila suatu pemboleh ubah diubah.

Tunjuk Cara
Tunjuk cara adalah kaedah PPBK yang digunakan untuk menunjukkan kepada
pelajar suatu prosedur. Kaedah ini digunakan untuk membolehkan pelajar
memahami suatu prosedur sebelum melakukannya dalam keadaan sebenar. Ia
juga sesuai digunakan untuk memahami suatu prosedur yang tidak boleh atau
tidak sesuai dilakukan di dalam kelas disebabkan kekurangan peralatan,
merbahaya atau terlalu kompleks.

Kaedah tunjuk cara boleh menggunakan beberapa siri gambar, simulasi atau
animasi. Dalam PPBK, pelajar biasanya diberikan peluang untuk melakukan
prosedur tersebut secara interaktif. Latihan ini boleh dilakukan berulang kali
sehingga mereka mahir dan lebih yakin apabila melakukan prosedur tersebut
dalam keadaan sebenar.

Ujian
PPBK jenis ujian membolehkan guru mengukur dan menilai pencapaian pelajar
dengan cepat. Soalan-soalan jenis objektif, isi tempat kosong, padanan, benarsalah
dan sebagainya sesuai digunakan bagi PPBK jenis ini. Jawapan berbentuk
ayat atau karangan jarang digunakan.

Kelebihan PPBK jenis ini ialah pelajar akan mendapat maklum balas terhadap
pencapaian mereka dengan serta merta. Dalam ujian diagnostik, ia dapat
memaklumkan kepada pelajar dan guru kelemahan-kelemahan pelajar agar guru
dapat merangka pembelajaran yang sesuai untuk pemulihan.
Berbeza dengan ujian, latih tubi dikendalikan sendiri oleh pelajar untuk menilai
diri mereka sendiri pemahaman mereka terhadap suatu pembelajaran.
Ujian pula dikendalikan dalam situasi yang lebih terkawal. Maklumat yang diperoleh
hasil daripada ujian ini digunakan oleh guru untuk menilai pencapaian pelajar
dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

No comments:

Post a Comment