Thursday, January 30, 2014

Homeostasis

Homeostasis adalah satu tindakan yang dilakukan oleh organisma untuk mengekalkan kestabilan persekitaran dalaman melalui pengawalan suhu badan, peredaran oksigen dan kandungan mineral (potasium, sodium dan klorida) di dalam sel badan. Homeostasis dicapai melalui satu mekanisme yang dikenali sebagai pengawalan tindak balas negatif. Apabila keadaan tidak stabil dalam badan dikesan, maklumat ini akan dihantar kepada regulator fisiologikal. Seterusnya, regulator fisiologikal akan menyebabkan perubahan kepada fungsi badan bagi menentang atau mengatasi keadaan tidak stabil tersebut.


Gangguan homeostasis berlaku apabila permintaan terhadap sistem tubuh badan melebihi keupayaan sel tubuh badan untuk bertindak balas bagi mengekalkan keadaan asal. Namun, sistem tubuh badan akan bertindak untuk mewujudkan keadaan yang stabil (homeostasis). 


Organisasi Struktur Tubuh

(a)       Tahap Kimia
·         Unit bahan terkecil yang stabil ialah atom.
·         Gabungan atom menjadi molekul dengan bentuk yang kompleks.
·         Setiap bentuk khusus molekul menentukan fungsinya.

(b)       Tahap Selular
·         Pelbagai molekul berinteraksi menjadi struktur yang lebih besar dan mempunyai fungsi khusus di dalam sel.
·         Sel merupakan unit hidup terkecil di badan.
·         Sel-sel ini menjadi organisasi tahap selular.
                       

Rajah 1.2 : Struktur organisasi tubuh badan


(c)       Tahap Tisu
·         Tisu terdiri daripada sel-sel yang serupa yang bekerja bersama-sama melakukan fungsi tertentu.
·         Contoh, sel-sel otot jantung membentuk tisu otot kardiak.

(d)       Tahap Organ
·         Organ terdiri daripada dua atau lebih tisu yang sama-sama bekerja melakukan fungsi tertentu.
·         Contoh, jantung adalah organ dengan dindingnya terdiri daripada lapisan otot kardiak dan lain-lain tisu.

(e)       Tahap Sistem Organ
·         Organ-organ berinteraksi dalam sistem organ.
·         Setiap kali menguncup, jantung mengepam darah ke saluran darah. Secara bersama, jantung, darah dan saluran darah membentuk sistem kardiovaskular iaitu organisasi tahap sistem organ.
(f)        Tahap organisasi

·         Semua sistem organ badan yang merupakan organisasi tahap tertinggi manusia bekerjasama mengekalkan kehidupan dan kesihatan. 

Konsep Asas Anatomi dan Fisiologi

Anatomi ialah kajian tentang struktur tubuh dan hubungan antara bahagian-bahagiannya. Perkataan ‘anatomi’ berasal daripada perkataan Greek ‘anatom’ yang bermakna “memotong”, maka anatomi boleh dianggap sebagai kajian dengan memotong (diseksi). Fisiologi pula adalah kajian yang berkaitan dengan fungsi pada keseluruhannya serta struktur dan organ-organ yang terdapat dalam tubuh badan.  Kajian ini berkait rapat dengan pengetahuan tentang semua makhluk hidup yang terangkum dalam kajian biologi. Bidang ini juga berkait rapat dengan kajian tindakan fizikal dan pergerakan yang berlaku dalam badan.


Terdapat beberapa jenis anatomi iaitu anatomi regional, anatomi fungsi dan anatomi makroskopik. Anatomi regional ialah kedudukan geografi bahagian tubuh dan setiap region atau daerah. Contohnya kaki, dada, kepala dan lain-lain anggota yang terdiri daripada struktur atau susunan umum yang terdapat pada semua bahagian tubuh badan. Anatomi fungsi pula adalah kajian tentang kedudukan dan hubungan antara satu bahagian tubuh dengan yang lain. Ia juga menerangkan tentang kegunaan setiap struktur dan sistem tisunya. Anatomi makroskopik adalah penglihatan struktur-struktur tertentu dengan hanya menggunakan mata kasar.