1. Adakah sukan itu
satu senaman atau sebaliknya?
Sukan merupakan senaman tetapi terdapat sedikit perbezaan
dimana aktiviti sukan mempunyai set-set peraturan, matlamat untuk melatih atlet
dan pencapaian cemerlang dalam kemahiran tertentu. Terdapat sukan individu
seperti golf dan berenang dan sukan yang dimainkan secara berpasukan seperti
bola sepak dan hoki. Sukan mempunyai elemen yang penting iaitu kompetitif atau
berdaya saing.
Senaman pula adalah aktiviti fizikal yang membabitkan
pergerakan tubuh badan secara sukarela dan bertujuan untuk meningkatkan tahap
kecergasan fizikal. Aktiviti senaman juga mampu meningkatkan tahap kesihatan
mental. Aktiviti senaman biasanya tidak melibatkan apa-apa jenis pertandingan.
Dalam erti kata lain, senaman bertujuan untuk mengekalkan atau meningkatkan
kecergasan fizikal dan kesihatan umum. Contoh senaman termasuk berjoging,
merentas desa, berenang rekreasi, berbasikal dan senamrobik.
2. Senaman berisiko
– “adakah bahaya untuk semua?”
Senaman berisiko mungkin tidak mendatangkan bahaya kepada
atlet-atlet prestasi tinggi kerana kondisi fizikal mereka yang telah biasa
dengan senaman yang memerlukan pergerakan badan yang mencabar. Bagaimana pun,
untuk masyarakat umum aktiviti senaman ini mungkin tidak bersesuaian kerana
tidak mempunyai latihan yang mencukupi.
Keadaan fizikal badan juga memainkan peranan penting dalam
memilih untuk melakukan aktiviti senaman berisiko. Sesetengah atlet berprestasi
tinggi juga mungkin tidak dapat melakukan aktiviti ini sekiranya tidak berapa
mahir dengan teknik senaman yang dijalankan. Dinasihatkan untuk semua atlet dan
masyarakat umum untuk mengamalkan teknik latihan yang sesuai dan selamat.
Pastikan anda melakukan aktiviti senaman bersama rakan atau jurulatih yang
berpengalaman. Adalah lebih baik untuk masyarakat umum untuk mempraktiskan
senaman-senaman asas dan mendapat nasihat pakar kesihatan dan kecergasan jika
ingin mencuba sebarang aktiviti senaman yang berisiko.
Antara contoh senaman berisiko adalah senaman regangan bagi
atlet gimnastik, senaman menggunakan beban bagi atlet sukan angkat berat dan
senaman kardiovaskular untuk atlet marathon.
3. Perlukah
memanaskan badan?
Memanaskan badan merupakan fasa penting dalam senaman.
Aktiviti memanaskan badan akan memastikan mental dan fizikal anda berada dalam
keadaan bersedia untuk latihan dan mengurangkan risiko kecederaan.
Apabila otot anda diregangkan dengan lebih awal, anda akan
merasakan peredaran darah yang lebih baik dan akan meningkatkan kadar peredaran
darah ke seluruh badan secara beransur-ansur. Ia juga dapat membantu
mengurangkan risiko kecederaan dan kesakitan yang datang dengan senaman.
4. Adakah kualiti
senaman diukur dengan berpeluh?
Berpeluh adalah tidak lebih dari hanya satu proses yang
membantu untuk menyejukkan badan. Apabila melakukan aktiviti fizikal, suhu
badan anda secara semulajadi akan mula naik dan badan anda akan mula berpeluh.
Tetapi berpeluh bukanlah indikator untuk kualiti senaman. Sebaliknya ia adalah
tindak balas fisiologi badan terhadap senaman. Mungkin ia ada sedikit hubungan
akan tetapi saya tidak akan menggunakannya sebagai petunjuk kepada keberkesanan
dan kualiti senaman anda.
Kebanyakan orang berfikir mereka telah berjaya manurunkan
berat badan selepas senaman yang mengeluarkan peluh yang banyak, tetapi perlu
diingatkan bahawa kehilangan berat badan serta-merta yang anda lihat adalah
dari kehilangan air badan kerana berpeluh. Jadi apabila anda minum air, berat
badan yang anda sangka hilang itu akan kembali semula.
Selain menggunakan peluh sebagai ukuran kualiti senaman
anda, adalah lebih efektif untuk menilai kualiti senaman anda dengan memeriksa
kadar denyutan jantung anda semasa aktiviti senaman.
5. Saya demam,
bolehkah saya bersenam?
Senaman ringan atau sederhana biasanya tidak menjadi masalah
jika anda mengalami selsema ringan dan tidak demam teruk. Senaman boleh
membantu anda merasa lebih baik dengan melegakan saluran hidung yang tersumbat
dan berpeluh.
Antara faktor yang harus anda pertimbangkan adalah
gejala-gejala penyakit anda. Satu cara yang baik untuk menentukan jika ia
selamat untuk bersenam semasa sakit adalah untuk melaksanakan apa yang
dipanggil “periksa leher anda”. Jika gejala-gejala penyakit anda terletak di
atas leher maka ianya selamat untuk bersenam. Gejala di atas leher termasuk
sakit tekak, sakit kepala atau selesema.
Adalah dinasihatkan kepada mereka yang demam atau selsema
untuk mengurangkan intensiti dan tempoh latihan anda. Sebagai contoh
menggantikan aktiviti larian dengan berjalan laju (brisk walking). Jika anda
mula merasa lebih baik semasa anda bersenam, anda boleh meningkatkan intensiti
latihan secara beransur-ansur. Walau bagaimanapun, jika anda rasa pening, lemah
atau loya maka anda perlu menghentikan aktiviti senaman serta-merta.
Sebaliknya, jika simptom anda terletak di bawah leher maka
jalan yang terbaik adalah dengan mengambil cuti dan berehat secukupnya. Jangan
bersenam jika ada gejala-gejala “di bawah leher”. Sebagai contoh, jika anda
mempunyai sakit perut yang teruk, sakit otot atau cirit-birit maka ia mungkin
lebih baik untuk hanya berehat.
Biarkan badan anda menjadi panduan kepada diri anda. Jika
badan anda merasa sejuk dan tidak
selesa, ambil masa untuk berehat dari aktiviti senaman yang sedang dilakukan.
Mengambil masa beberapa hari dari latihan semasa anda sakit tidak akan
menjejaskan prestasi anda. Sambung semula rutin senaman biasa anda secara
beransur-ansur apabila anda mula berasa lebih sihat. Sila dapatkan nasihat
doktor jika anda tidak pasti jika ia selamat untuk anda mula melakukan aktiviti
senaman.
Ingat, jika anda memilih untuk bersenam semasa anda sakit,
maka kurangkan intensiti dan tempoh masa latihan anda. Jika anda cuba untuk
menjalankan aktiviti senaman pada intensiti biasa semasa anda selsema atau
demam, anda mempunyai risiko untuk mendapat kecederaan atau penyakit yang lebih
serius.
6. Adakah kerja
rumah itu satu senaman?
Kerja rumah merupakan cara terbaik untuk membakar kalori.
Seperti yang berlaku dalam sebarang aktiviti senaman, lebih banyak usaha yang
anda diberikan, lebih besar manfaat yang akan anda perolehi.
Aktiviti mengemas rumah, membersihkan rumah, mengemop lantai
dan menyapu sampah amat bagus untuk membentuk otot lengan yang menarik.
Pergerakan yang melibatkan lenturan dan regangan, sebagai contoh mengemas
tempat tidur, mencuci tingkap atau membasuh pakaian adalah aktiviti yang baik
untuk membentuk otot paha yang cantik dan meningkatkan fleksibiliti tubuh
badan.
Berjalan menaiki dan menuruni tangga untuk mengemas adalah
salah satu contoh senaman aerobik yang baik. Selain itu, kerja-kerja rumah yang
lebih menggunakan tenaga seperti menghias rumah dan membersihkan kawasan
persekitaran rumah membantu membakar lebih banyak kalori dan membentuk otot
yang diidamkan.
7. Bolehkah otot
menjadi lemak setelah berhenti mengangkat besi?
Lemak (Adipose Tissue) dan otot (Muscle Tissue) adalah dua
jenis tisu yang berlainan. Salah satu jenis tisu tidak mungkin boleh bertukar
kepada yang lain. Apabila anda berhenti melakukan aktiviti fizikal seperti
mengangkat besi, otot akan akan berada dalam keadaan tidak aktif dan mungkin
akan menyakibatkan atrophi otot (Muscle Atrophy).
Oleh itu, jika anda terus makan seperti biasa dan berhenti
melakukan aktiviti fizikal, anda akan melihat penambahan lemak badan dan
pengurangan saiz otot. Sudah tentu, soalan sebenar adalah mengapa anda berhenti
melakukannya?
8. Saya mengandung,
bolehkah saya bersenam?
Senaman sangat bagus semasa mengandung. Ia meningkatkan
mood, memperbaiki waktu tidur dan mengurangkan rasa sakit akibat mengandung. Ia
membantu menawal diabetes semasa mengandung. Senaman juga menyediakan anda
untuk melahirkan anak dengan mengukuhkan otot dan membina daya tahan. Dengan
melakukan aktiviti senaman ia akan memudahkan ibu yang mengandung untuk kembali
ke bentuk badan asal selepas bayi anda dilahirkan.
Berjalan kaki adalah salah satu latihan kardiovaskular
terbaik untuk wanita hamil. Berjalan kaki menjadikan anda cergas tanpa
merosakkan lutut dan buku lali anda. Ia juga mudah untuk dilakukan hampir di
mana sahaja, tidak memerlukan apa-apa kelengkapan kecuali hanya kasut yang baik
untuk menyokong berat badan anda, dan merupakan aktiviti selamat sepanjang
sembilan bulan kehamilan.
Berenang adalah senaman yang terbaik dan paling selamat
untuk wanita mengandung. Aktiviti berenang sesuai untuk wanita mengandung
kerana ia menggerakkan kedua-dua kumpulan otot besar (tangan dan kaki),
memberikan kesan yang baik kepada sistem kardiovaskular. Wanita mengandung
tidak akan merasa berat badan yang bertambah akibat kehamilan sewaktu melakukan
aktiviti berenang.
Kebanyakan wanita mendapat manfaat hasil daripada bersenam
sepanjang kehamilan mereka. Sebaiknya bincangkan rancangan senaman dengan
doktor dan anda juga perlu memikirkan lain-lain penjagaan kesihatan awal. Rutin
senaman anda perlu di ubahsuai mengikut keadaan semasa anda. Tahap latihan akan
disyorkan bergantung kepada tahap kecergasan anda sebelum hamil. Sebaik-baiknya
kurangkan senaman ketika awal kehamilan. Pastikan kandungan benar-benar kuat
dan anda berasa selesa untuk bersenam.
9. Saya kerap
bersenam tapi tak kurus-kurus pun!
Anda tidak melakukan senaman yang mencukupi. Senaman rutin
yang anda lakukan mungkin tidak cukup jika anda tidak konsisten membakar kalori
yang anda ambil setiap hari. Satu jam yang penuh dengan senaman mungkin hanya
boleh membakar 400-500 kalori untuk kebanyakan orang. Walaubagaimana pun, ia
amat mudah untuk makan beratus-ratus atau beribu-ribu kalori walaupun hanya
beberapa minit. Jika anda tidak menukar diet anda dan mengurangkan pengambilan
kalori, bersenam sahaja mungkin tidak akan banyak membantu anda.
Kebanyakan orang perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 30
minit senaman setiap hari, dan orang-orang yang cuba mengurangkan berat badan
mungkin perlu meningkatkan senaman harian mereka antara 60 dan 90 minit untuk
mendapatkan keputusan yang diinginkan. Sebagai contoh, dengan berjalan kaki
selama 15 minit setiap hari dan anda boleh membakar beberapa ratus kalori
tambahan setiap minggu.
Anda makan terlalu banyak. Walaupun anda telah cuba untuk
membuat pilihan pemakanan yang lebih sihat, anda boleh mensabotaj usaha anda
dengan membiarkan diri anda “menipu” pada hujung minggu. Anda mungkin mendapati
bahawa anda menambah semula kalori dibakar melalui senaman hanya dengan
mengambil minuman soda pada waktu rehat makan tengah hari anda.
Rancang untuk memulakan diari pengambilan makanan harian
anda sebagai salah satu cara untuk meningkatkan kesedaran dan mengira
pengambilan kalori seharian. Penggunaan diari makanan akan memberikan idea
tentang penambahan kalori ekstra dalam sehari yang anda telah sumbangkan kepada
diet anda. Anda mampu mengubah diet seharian dan memulakan diet yang lebih
sihat.
Satu tips untuk membakar lemak ialah cuba bersenam di awal
pagi sebbelum anda mengambil sarapan. Ketika waktu ini tubuh menggunakan lemak
sebagai tenaga untuk bergerak.
No comments:
Post a Comment